"Persahabatan menjalin bibit kenangan terindah kehidupan
Sahabat merungkai segalanya walau besar mana rintangan
Teman pendorong semangat untuk berjuang
Rakan selalu disisi ketika berhadapan cabaran"
Namun,
Ironinya persahabatan itu,
Ibarat angin lalu sahaja, mudah datang mudah jua ia pergi. Lantas, segalanya mungkin berlaku tanpa sebarang sebab, sedar mahupun tidak sedar, disengajakan mahupun tidak diduga dan lantaran itu, kita sebagai insan biasa hanya mampu berusaha, berserah kepada Yang Maha Esa kerana atas ketentuanNya kita dipertemukan menjadi seorang sahabat. Seharusnya disedari, sekali angin buai berlalu, enak sahaja desiran angin yang menerpa ke dalam diri seseorang, tetapi, sekali angin mengganas, hancur berkecai, berbadai segala yang dibadai angin. Ironi persahabatan itu, ibarat angin, selalunya berlalu sepoi-sepoi bahasa, sikit-sikit memukul badai, jarang-jarang angin mengganas dan kadang-kadang angin meluahkan taufan.
Ironi persahabatan itu,
Ibarat sekuntum bunga yang mekar, disemai, dibajai dan dijaga dengan rapi. Namun, dek kerana panas yang melampau, bunga itu layu, mati berguguran. Begitu juga persahabatan, sahabat yang menyemai kasih ibarat baja yang menyunting kuntuman bunga-bunga mekar. Namun, sahabat yang menyemai duka ibarat mentari yang memberi terik panas yang hebat, layu mati bunga-bunga mekar.
Ironi persahabatan itu,
Ibarat jarum-jarum sulaman. Jarum yang bergerak halus menyulam, menyulam kain dengan cantik. Jarum-jarum itu tekun tanpa rasa jemu menyulam kain tenunan, kerana jarum-jarum itu tahu, andai kain tenunan dengan sulaman yang halus, mewujudkan ekspresi halus tanpa sentuhan jasad namun akal. Begitu juga seorang sahabat, tidak mudah merasa jemu, sabar menjadi pembakar semangat untuk temannya. Namun dalam keduniaan ini, teman itu sukar dicari.
Ironi persahabatan itu,
Ibarat lautan yang tenang. Tenang mengemudi segala cabaran kehidupan. Sesekali mata memandang, wujud rasa aman, kedamaian dan ketenangan. Begitulah seorang sahabat, cekal menghadapi apa jua rintangan demi seorang teman. Namun, apabila laut itu bergelora memecah badai, segalanya nampak cemas, kucar-kacir dan kegelisahan. Lautan bergelora itu ibarat teman yang ditinggal jauh bukan dari pandangan mata, tetapi hilang terus dari ingatan.
Sejauh mana persahabatan itu mampu bertahan, harus diukur dengan ketabahan seorang teman itu melayani sahabatnya. Andai ada kisah duka terselit, teman itu mampu menjadi sebaliknya. Menghargai kehadiran seorang teman itu tidak sukar lantaran teman itu tidak akan pernah menyesal bersahabat kerana bagi dirinya andai dia mampu memberi senyuman kepada orang lain, itu sudah cukup memadai untuk merasa dihargai dan merasa kemanisan persahabatan.
No comments:
Post a Comment